Selasa, 10 Januari 2017




Zainal Abidin Ahmad.jpg



TOKOH YANG MEMBERI SUMBANGAN KEPADA BAHASA MELAYU


Sebelum kita membincangkan sumbangan Za’ba terhadap perkembangan bahasa Melayu terlebih dahulu kita berkenalan dahulu dengan sarjana dan ahli fikir Melayu ini. Secara sepintas lalu Za’ba ketika hidupnya menulis berkenaan dengan berbagai-bagai tajuk iaitu bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu, agama, serta etika dan ekonomi orang Melayu. Namun demikian, perhatian dan minat beliau lebih besar dalam bidang bahasa lantas mendorong kesungguhan beliau dalam perjuangan memartabatkan bahasa Melayu, iaitu memperluas dan mengekalkan darjat bahasa Melayu di mata masyarakat yang diperkukuhkan oleh kesedaran serta keyakinan mendalam.  Za’ba dikenali, disanjung dan dikenang sebagai pejuang bangsa, ilmuan pendidikan dan bahasa, tokoh agama dan politik[1].  Za’ba merupakan tokoh intelektual ulung Melayu dalam pembinaan kemajuan pemikiran bangsa dan pembangunan dan pencetus kesedaran politik Negara. Beliau diiktiraf sebagai pengasas paling dinamik dalam perkembangan Pengajian dan Persuratan Melayu dan peningkatan keintelektualan Melayu. Beliau juga mempunyai kesedaran betapa pentingnya strategi penyelesaian masalah kepada perkembangan ekonomi, sosial dan budaya bangsa.  Ketokohan Za’ba terbukti apabila Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim (2004) mengemukakan pandangan seperti berikut “Orang Melayu khususnya terhutang budi kepada Za’ba. Pendeta Za’ba ialah seorang tokoh Pendidikan, Bahasa, Persuratan, Sasterawan, Budayawan, dan Nasionalis. Di seluruh Malaysia dan Alam Melayu, beliau tersohor sebagai Bapa Bahasa Melayu Moden dan penulis yang sangat disegani. Himpunan ratusan karyanya, dari Pelita Bahasa Melayu hinggalah ke rencana-rencana dalam pelbagai penerbitan mengenai sejarah, kesusasteraan, kebudayaan, sosial dan politik, telah dan terus meniupkan semangat juang bangsa”[2].

Latar Belakang


Nama beliau Za’ba atau nama penuhnya Tan Sri Dr. Zainal Abidin Bin Ahmad dilahirkan pada 16 September 1895 di Kampung Kerdas, Jempol, Batu Kikir, Negeri Sembilan Darul Khusus. Mendapat pendidikan di Sek. Melayu Linggi dalam tahun 1907.  Kemudian ke St. Paul Institution, Seremban sehingga lulus Senior Cambridge.  Beliau pernah bekerja sebagai Guru Bahasa Melayu di English College, Johor Bahru, sebagai penterjemah pengarang Berita Radio, penulis Setiausaha Agung UMNO, pensyarah Bahasa Melayu di Universiti London dan terakhir sekali sebagai Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Singapura.  Di antara karya yang telah dihasilkan oleh beliau ialah Pelita Bahasa MelayuIlmu Mengarang Melayu dan Daftar Ejaan Melayu Jawi atau Rumi yang menjadi rujukan dalam penggunaan tatabahasa Bahasa Melayu. Di antara rencana beliau yang terkenal ialah Modern Developments of Malay Literature dan Malay Journalism in Malaya.  Di samping buku bahasa Melayu, beliau turut bergiat menterjemahkan buku-buku asing ke Bahasa Melayu untuk mengisi kekosongan buku-buku pengetahuan dalam Bahasa Melayu. Di antara nama pena yang digunakan oleh beliau ialah Anak Melayu Jati, Patriot; yang bermaksud, orang yang kasihkan bangsa dan tanah airnya, Za’ba, Z Penjelmaan, Z Penjelmaan c/o Patriot, Melayu yang beragama Islam, Z dan Melayu, Yang Hina Patriot.  Jasa-jasa beliau sangat besar dan telah dikurniakan beberapa anugerah seperti Doktor Persuratan dari Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Pada tahun 1962, beliau telah dianugerahkan pingat PMN yang membawa gelaran Tan Sri oleh Yang Di Pertuan Agong. Gelaran Pendeta dikurniakan ketika berlangsungnya Kongres Bahasa Melayu dan Persuratan Melayu Ketiga di Johor Bahru tahun 1956.




  Sumbangan Za’ba


-Sistem Ejaan Melayu

Salah satu sumbangan Za’ba ialah dalam sistem ejaan Melayu.  Minat beliau terhadap penulisan bermula dalam tahun 1918 semasa menjadi guru Bahasa Melayu merangkap penterjemah di Maktab Melayu Kuala Kangsar, beliau telah mula mengumpul senarai perkataan Melayu dalam tulisan Jawi. Dalam tahun 1924 , beliau telah menjemput beberapa orang Melayu dari kalangan pegawai kerajaan yang berpendidikan Inggeris datang ke Kuala Lumpur untuk membantu menubuhkan sebuah "Pan-Malayan Malay Literary Society" yang matlamat utamanya ialah untuk menyatukan pelbagai kelainan sistem ejaan Melayu, di samping memajukan perkembangan kesusasteraan Melayu Moden.  Nama Pendeta Za’ba juga terukir sebagai pencipta Sistem Ejaan Baru Bahasa Melayu yang disebut sebagai Sistem Ejaan Za’ba. Beliau menggubal sistem ejaan dalam tahun 1933 dan menggantikan dengan sistem ejaan oleh R.J. Wilkinson yang telah digunakan dalam tahun 1914. Oleh sebab Sistem Ejaan Za’ba digunakan di sekolah-sekolah sejak tarikh penggubalannya sehinggalah tahun 1972 dengan dilaksanakan Sistem Ejaan Baharu, maka sistem berkenaan juga dikenali sebagai Sistem Ejaan Sekolah.  Walau bagaimanapun, Za’ba menaruh harapan untuk  menjadikannya sebuah kamus dengan setiap perkataan itu diberi tidak sahaja makna tetapi juga contoh ayat memakainya dan simpulan bahasa yang telah terbit daripadanya,"sebagai membanyak dan menambah elokkan kamus-kamus kita yang sedia ada". Oleh kerana itulah, beliau digelar “Bapa Bahasa Melayu Moden” selepas Munsyi Abdullah.  Za’ba turut berusaha memperkembangkan dan meningkatkan penggunaan Bahasa Melayu dan turut terlibat sebagai anggota Lembaga Menggubal Perkataan Melayu bersama Ibrahim Mahmud, Dato’ Haji Muhammad Said, Abdul Rahim Kajai dan Osman Kalam.


 -Daftar Ejaan Jawi

Sumbangan Za’ba telah memperkenalkan kaedah ejaan Jawi dalam tahun 1929 dan menerbitkan pula Rahsia Ejaan Jawi  dalam tahun 1931, sebahagian daripada buku yang dinamakan Rahsia Ejaan Jawi itu telah dicetak. Ertinya, pada tahun 1918 beliau memulakan projek pensenaraian kata-kata dalam tulisan Jawi; pada tahun 1924 beliau mengambil inisiatif menubuhkan sebuah persatuan yang salah satu matlamatnya ialah untuk menyeragamkan ejaan Jawi. Pada tahun 1931 beliau merumuskan undang-undang ejaan Jawi dalam sebuah buku Rahsia Ejaan Jawi; pada tahun 1938 beliau menyiapkan Daftar Ejaan Melayu (Jawi-Rumi).  Menurut Za'ba, undang-undang ejaan Jawi yang diberikan dalam buku Daftar Ejaan Melayu itu "hanyalah ringkasan atau pati daripada apa-apa yang telah dipanjang-lebarkan di sana sahaja”. Kemuncak yang diimpikannya ialah sebuah kamus lengkap bahasa Melayu dalam tulisan Jawi. 



-Bahasa dan Fikiran


Za’ba jelas berpendirian bahawa bahasa adalah “alat mengeluarkan fikiran”. Perkaitan di antara kedua-duanya itu sangat erat, dalam erti kata bahasa yang digunakan itu hendaklah dengan tepat menggambarkan fikiran. Za’ba mengatur penggunaan bahasa, khususnya dalam karang-mengarang. Katanya :


Bahasa itu alat mengeluarkan fikiran supaya dapat diketahui orang dengan mendengar atau membacanya. Maka jika bahasa yang dipakai itu tidak menepati betul-betul seperti maksud yang di dalam hati, tentulah orang tersalah faham atau tiada dapat oleh mereka tujuan yang dikehendakkan itu.
(Bab Permulaan, Ceraian 4)


Za’ba mengajar bukan setakat bahasa sahaja, tetapi menanamkan semangat dan kedudukan Bahasa Melayu itu sendiri. Za’ba juga pernah mengkaji penggunaan bahasa dalam akhbar pada tahun 1900-1941. Bahasa sekitar tahun ini menggunakan bahasa mudah, bahasa pengarang dan tersendiri. Ada juga yang cenderung menggunakan perkataan lama dan ungkapan pinjaman dari Bahasa Arab.



-Nahu dan Tatabahasa

Za’ba dengan jelas membezakan pengetahuan nahu dengan kemahiran bahasa. Pandai menggunakan bahasa tidak semestinya pandai menjelaskan hal-hal yang berhubung dengan nahu. Untuk belajar bahasa, orang tidak perlu terlebih dahulu belajar tentang selok belok nahu. Za’ba melihat penggunaan bahasa sebagai satu kemahiran, dan kemahiran memerlukan latihan. Kemahiran dalam penggunaan bahasa setiap hari itu dilanjutkan kepada kemahiran mengarang. Fikiran Za’ba tentang kemahiran bahasa seperti itu tidaklah bermakna beliau tidak menitikberatkan nahu. Beliau melihat peranan nahu pada dua peringkat pembelajaran, iaitu pada peringkat bahasa pertama dan pada peringkat bahasa kedua.  Pada peringkat bahasa pertama, nahu berguna untuk mengukuhkan pengetahuan pengguna bahasa tentang susunan ayat dan fungsi-fungsi perkataan, dan dengan itu nahu boleh menjadi pedoman dalam penyelidikan mereka. Oleh itu, sumbangan sebuah rumusan besar nahu Melayu (Pelita Bahasa Melayu (1941) dalam tiga jilid) telah membawa perubahan yang besar kepada dunia linguistik Melayu[9].

Menurut Za’ba di dalam bukunya Ilmu Mengarang Melayu Edisi Ejaan Rumi Baharu, dengan adanya ilmu nahu, pengguna bahasa boleh mendalami lagi hal ehwal bahasa mereka. Pada peringkat belajar bahasa asing, nahu perlu diutamakan supaya jangan terikut kaedah nahu bahasa sendiri.  Sebenarnya, aspek tatabahasa yang dikemukakan oleh Za’ba dalam Pelita Bahasa Melayu sebanyak 3 jilid itu dari segi rangka asasnya sudah lengkap dan menyeluruh sesuai dengan saranannya agar orang selepasnya menokok-tambah mana-mana yang tidak lengkap. Analisis Za’ba tentang tatabahasa dapat dibahagi kepada dua komponen utama, iaitu morfologi dan sintaksis, walaupun beliau tidak menggunakan istilah tersebut. Selaras dengan pengaruh tatabahasa tradisional yang ketika itu mendominasi disiplin linguistik, analisis Za’ba ternyata banyak yang terikat oleh pendekatan tersebut. Oleh sebab itu, istilah-istilah tatabahasa yang digunakannya dan cara beliau menjelaskan sesuatu konsep tatabahasa seluruhnya berdasar pada makna, iaitu ciri utama linguistik tradisional. 



5.5       Karangan Sebagai Sistem Wacana

Za’ba melihat karangan sebagai satu wacana yakni wacana bertulis yang berbeza dengan wacana lisan.  Karya-karya Za’ba dikatakan penting kerana telah meletakkan asas pengetahuan Bahasa Melayu dari berbagai-bagai segi. Berikut merupakan antara karangan-karangan Za’ba :-
i)                 Pelita Bahasa Melayu II (Rumi)
Memberi latihan mengarang bagi darjah rendah.
ii)               Pelita Bahasa Melayu III (Rumi)
Bicara mengarang bagi darjah tinggi.
iii)             Ilmu mengarang Melayu (Jawi)
Bicara mengarang bagi penuntut-penuntut di kolej.
iv)             Daftar Ejaan Melayu (Jawi-Rumi)
Daftar perkataan-perkataan Melayu dengan ejaan jawi dan rumi serta undang-undang ejaannya.
v)               Kata-kata yang Tidak Tetap dalam Tulisan Melayu Rumi dan Kitab Rahsia Ejaan Jawi (1930)
vi)             Kaedah Karangan Bahasa Melayu terangkum dalam Kitab Pelita Mengarang (1931)
vii)           Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia (1958)
viii)         Bahasa Melayu Kelebihan dan Kekurangan (1954)
ix)             Bahasa Melayu dengan Tulisannya (1958)

Dari situ kita dapat melihat banyak dan amat besar perjuangan serta sumbangannya kepada bangsa dan negara kita ini. Pendeta Za’ba serta semua karyanya adalah sebenar-benarnya Warisan Bangsa yang amat berharga khususnya di dalam bidang bahasa dan kesusasteraan yang harus dikenang oleh generasi masa kini dan juga yang akan datang.  Dalam perspektif sejarah penulisan tatabahasa Bahasa Melayu, Za’ba lah satu-satunya ahli bahasa tempatan yang menghasilkan tatabahasa Bahasa Melayu dalam bahasanya sendiri. Jika dipertalikan dengan cita-cita Abdullah Abdul Kadir Munshi yang ingin menghasilkan karya tatabahasa Bahasa Melayu sejak akhir abad kesembilan belas tetapi tidak kesampaian, Za’ba lah yang menyempurnakan cita-cita tersebut[11].



-Sumbangan dalam Linguistik

Demikian juga jika dikaitkan percubaan Raja Ali Haji menulis tatabahasa Bahasa Melayu mengikut acuan tatabahasa Bahasa Arab termasuk istilah-istilah yang digunakan, Za’ba lah juga yang menyempurnakan dengan cara tersendiri sebagaimana bukti nyata kitab Pelita Bahasa Melayu sebanyak tiga penggal itu.  Selaras dengan semangat yang ditunjukkan oleh Za'ba dalam dunia linguistik Melayu, maka semua pihak yang mendokong kepentingan Bahasa Melayu perlulah memadu tenaga untuk tidak menggugat kedaulatan Bahasa Melayu dengan kepentingan kecil-kecilan yang tidak dapat dipertahankan secara rasional kerana sikap kitalah yang menjadi punca kita menolak Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Jika, dari segi rasionalnya, sistem yang disempurnakan itu masih belum sempurna, maka aspek-aspek yang belum sempurna itu hendaklah dikenalpasti dan penyelesaian ke atasnya dicari secara rasional pula dan bukannya ditolak begitu sahaja dengan tidak dicari jalan bersama-sama untuk memperbaiki lagi apa yang telah dicuba-sempurnakan.  Usaha dan sumbangan Za’ba mesti dikaji kerana semuanya itu dapat menyemai bibit-bibit semangat cintakan negara dan bangsa Melayu untuk bebas dari kongkongan pemerintah tradisional dan British khusus kepada generasi muda hari ini yang jauh dan buta daripada perjuangannya itu kerana perjuangan beliau sentiasa ditunjangi oleh ketabahan, kecekalan dan keyakinan. Walaupun Za’ba berpendidikan Inggeris tetapi beliau tetap berjuang gigih untuk memartabatkan Bahasa Melayu, sama seperti pejuang bahasa pada hari ini. Usaha Universiti Pendidikan Sultan Idris mewujudkan Kursi Za’ba dalam rangka mengimarahkan dunia kesarjanaan dalam bidang pengajian Melayu merupakan usaha yang terpuji, bukan sahaja sebagai mengenang jasa bakti beliau sebagai antara tokoh yang menjadi tonggak Sultan Idris Training College yang merupakan institusi awal universiti tersebut, malah sebagai penghargaan yang hak baginya sebagai perintis bahasa Melayu baharu[13]. Demikian juga usaha kerajaan Negeri Sembilan mewujudkan Teratak Za’ba yang bersifat muzium tokoh seakan-akan Muzium Hemingway di England; dan tertubuhnya Yayasan Pendeta Za’ba pada 7 November 1986 oleh Badan Kebajikan Anak-Anak Melayu Negeri Sembilan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu akan dapat mengabadikan sumbangan Za’ba dalam melanjutkan tradisi keilmuan di rantau berbahasa Melayu ini. Bagi Za’ba, bahasa adalah mencerminkan keunggulan budaya kita dan jati diri bak kata pepatah,“Hilang bahasa lenyaplah bangsa”[14]Sumbangan pemikiran beliau kepada bangsanya adalah banyak dan amat bererti. Sumbangan pemikirannya dalam bidang budi pekerti dan agama, tentang ekonomi dan kemiskinan orang Melayu adalah banyak dan telah dirakamkan serta dibicarakan dengan luas.  Walau bagaimanapun, sumbangannya yang paling besar ialah dalam bidang bahasa Melayu. Minatnya dalam bidang ini sungguh besar dan bermula sejak awal-awal lagi. Keazamannya untuk menulis sebuah buku nahu Melayu telah mula muncul dalam fikirannya sejak beliau berumur dua belas tahun lagi.  Dalam tahun 1918 lagi, sewaktu bertugas sebagai guru bahasa Melayu di Malay College Kuala Kangsar, beliau telah mula mengumpul senarai perkataan Melayu dalam tulisan Jawi. Dalam tahun 1924 pula, umpamanya, beliau telah menjemput sebilangan orang Melayu dari kalangan pegawai kerajaan yang berpendidikan Inggeris datang ke Kuala Lumpur untuk membantu menubuhkan sebuah "pan-Malayan Malay Literary Society" yang matlamat utamanya ialah untuk menyatukan pelbagai kelainan sistem ejaan Melayu, di samping memajukan perkembangan kesusasteraan Melayu moden.  Tidak hairanlah kita melihat bahawa sumbangan beliau adalah juga di dalam bidang ejaan, iaitu ejaan Jawi, di samping sumbangan sebuah rumusan besar nahu Melayu (Pelita Bahasa Melayu (1941) dalam tiga jilid), dan kaedah mengarang dalam bahasa Melayu (Kitab Ilmu Mengarang Melayu (1951)). Adalah juga menjadi hasrat beliau untuk menyumbangkan kepada bahasa Melayu sebuah kamus Melayu yang lengkap dalam tulisan Jawi.


Malah ke arah melahirkan kamus Jawi itulah maka, sebagai langkah awal, dilahirkannya sebuah sistem ejaan Jawi. Ini dinyatakannya sebagai tujuan kedua penyusunan buku Daftar Ejaan Melayunya. Menurutnya, tujuan kedua itu ialah "... hendak dibuat daripadanya sebuah kamus Melayu yang lengkap bagi pergunaan hari-hari di antara ahli-ahli bahasa Melayu".  Sehubungan dengan kaedah ejaan Jawi, dalam tahun 1929, diterbitkannya Kitab Rahsia Ejaan Jawi (Pulau Pinang: The Jelutong Press) dan dalam tahun 1931, telah dicetak sebahagian daripada buku yang dinamakannya Rahsia Ejaan Jawi.) Menurut Za'ba, undang-undang ejaan Jawi yang diberinya dalam buku Daftar Ejaan Melayu itu "hanyalah ringkasan atau pati daripada apa-apa yang telah dipanjang-lebarkan di sana sahaja".  Ertinya, pada tahun 1918 beliau memulakan projek pensenaraian kata-kata dalam tulisan Jawi; pada tahun 1924 beliau mengambil inisiatif menubuhkan sebuah persatuan yang salah satu matlamatnya ialah untuk menseragamkan ejaan Jawi; pada tahun 1931 beliau merumuskan undang-undang ejaan Jawi dalam sebuah buku Rahsia Ejaan Jawi; dan pada tahun 1938 beliau menyiapkan Daftar Ejaan Melayu (Jawi-Rumi) . Kemuncak yang diimpikannya ialah sebuah kamus lengkap bahasa Melayu dalam tulisan Jawi.


Sabtu, 7 Januari 2017

DASAR BAHASA KEBANGSAAN.

DALAM konteks Malaysia, perancangan taraf bahasa melibatkan upaya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Penetapan bahasa Melayu sebagai asas perancangan bahasa di Malaysia didasarkan pada penerimaan kenyataan bahawa bahasa Melayu merupakan tonggak tamadun di alam Melayu sejak zaman Sriwijaya dan kemudian pada zaman kesultanan Melayu di pelbagai pusat tamadun Melayu di rantau Asia Tenggara.

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu diasaskan pada dasar negara yang dikenali sebagai Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan, iaitu dua daripada beberapa dasar penting dalam proses pembinaan negara. Sebagai maklumat asas, proses pembinaan negara diperlukan oleh negara yang baru mencapai kemerdekaan untuk membentuk acuan dan sifat kenegaraannya dalam pelbagai bidang utama tamadun negara baharu itu.
Kedua-dua dasar kenegaraan itu, bersama-sama dengan satu dasar lain, iaitu Dasar Kebudayaan Kebangsaan mewakili aspek dalaman atau aspek kerohanian rakyat Malaysia, iaitu aspek yang menayangkan pandangan sarwa, sistem nilai, pemikiran dan adab bangsa. Dasar-dasar itu, bersama-sama dengan dasar lain dalam bidang yang mewakili aspek jasmaniah atau fizikal, iaitu Dasar Ekonomi Baharu (kemudian Dasar Pembangunan Nasional dan kini Model Ekonomi Baharu) menjadi tonggak proses pembinaan negara kita sebagai negara yang berdaulat dan berjati diri sendiri.
Dasar Bahasa Kebangsaan di Malaysia dilaksanakan dengan berasaskan undang-undang negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan (Perkara 152) dan Akta Bahasa Kebangsaan. Akta Pendidikan (mulanya Akta Pelajaran 1961 dan kemudian Akta Pendidikan 1996) pula berkaitan dengan pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara. Badan yang diberi amanah secara khusus merancang bahasa Melayu ialah Dewan Bahasa dan Pustaka (nama asalnya ialah Balai Pustaka), dengan berdasarkan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (mulanya Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 dan kemudian Akta Dewan Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka, Pindaan dan Peluasan 1995).
Sebagaimana yang telah saya sebut dalam majalah keluaran Januari 2011, perancangan bahasa di Malaysia melibatkan dua aspek utama, iaitu perancangan taraf bahasa dan perancangan korpus bahasa. Perancangan taraf bahasa meliputi semua upaya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa penghantar utama pendidikan, iaitu sebagaimana yang telah dibincangkan di atas tadi. Setelah mantap penetapan taraf tersebut, maka upaya ditumpukan pula pada aspek perancangan korpusnya pula. Dalam perancangan korpus bahasa Melayu, usaha dilaksanakan dalam dua strategi pula, iaitu pembinaan dan pengembangan bahasa.
Pembinaan bahasa merujuk kepada usaha melengkapkan bahasa Melayu daripada sudut korpus bahasanya, iaitu kosa kata umum, istilah, tatabahasa, ejaan, sebutan dan laras bahasa untuk memungkinkan bahasa itu dapat memainkan peranan sebagai wahana komunikasi yang cekap dan berkesan dalam konteks pembangunan bangsa dan negara. Pengembangan bahasa pula berkaitan dengan usaha memasyarakatkan bahasa yang dibina korpusnya itu kepada para penggunanya dalam sektor perkhidmatan awam, sektor pendidikan, sektor swasta dan sektor antarabangsa.
Perancangan bahasa di Malaysia, sebagaimana yang telah saya sentuh lebih awal, secara rasmi telah bermula satu tahun sebelum kemerdekaan apabila Jawatankuasa Pelajaran Razak (1956) merumuskan usul-usul ke arah pembentukan dasar dan sistem pendidikan kebangsaan, dengan bahasa Melayu sebagai salah satu tonggaknya, iaitu sebagai bahasa penghantar utama. Usul Jawatankuasa Razak berserta usul penegasan Jawatankuasa Rahman Talib (1960) telah dijadikan asas Akta Pelajaran 1961 yang selama puluhan tahun menjadi asas pelaksanaan Sistem Pendidikan Kebangsaan di negara ini.
Malah Akta Pendidikan 1996 yang menggantikan Akta Pelajaran 1961 bukan sahaja mengekalkan tetapi memperteguh semangat yang diusulkan oleh Penyata Razak, iaitu penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan di negara ini. Oleh sebab itu, apa-apa sahaja dasar atau pelaksanaan yang berkaitan dengan sistem pendidikan tidak sewajarnya mengetepikan dasar induk tentang taraf bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama itu. Tambahan pula, peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan tentang takrif bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi turut meliputi penggunaan bahasa Melayu dalam bidang pendidikan, selain dalam bidang pentadbiran dan undang-undang. Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka dan Institut Bahasa pada tahun itu juga, yang merupakan usaha perancangan bahasa yang dilakukan oleh Kerajaan untuk mempersiapkan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi bagi pembinaan negara.
Sehingga kini, sudah lebih setengah abad negara kita membangun dengan berasaskan bahasa Melayu sebagai wahana komunikasi utamanya, terutama dalam bidang pentadbiran dan pendidikan, dan secara beransur-ansur dalam bidang undang-undang dan kehakiman serta swasta. Apabila dalam Wawasan 2020 diungkapkan gagasan pembinaan negara maju dengan berteraskan acuan sendiri, maka peranan bahasa Melayu sebagai wahana komunikasi pembangunan haruslah difahami dan diiktiraf sebagai salah satu unsur penting dalam pemenuhan gagasan itu. Pembangunan yang berteraskan acuan sendiri membawa erti menjadikan budaya setempat sebagai unsur atau ciri utama pengisian kegiatannya, dan dalam konteks budaya, bahasa adalah tunjangnya.
Pencapaian yang masih belum cukup memuaskan dalam hal pelaksanaan bahasa Melayu sebagai wahana jentera pentadbiran negara di peringkat Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan badan berkuasa awam perlu diatasi dengan meningkatkan kuat kuasa undang-undang pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Perlu ada keseimbangan antara usaha dakwah bahasa, iaitu pengembangan bahasa melalui bidang pendidikan dan pelbagai usaha pengembangan seperti kursus bahasa dengan usaha penguatkuasaan undang-undang bahasa kerana tabii manusia bergantung pada kedua-dua strategi itu.

Selasa, 3 Januari 2017

fungsi bahasa melayu

FUNGSI BAHASA MELAYU


Bahasa Melayu merupakan bahasa nusantara yang dipertuturkan oleh penduduk Kepulauan Melayu sejak zaman berzaman. Ia menjadi bahasa istana, bahasa pertuturan rakyat biasa bahkan bahasa perdagangan yang juga dikenali sebagai Lingua Franca. Ia memiliki keunikan dan keindahannya yang tersendiri kerana melalui ungkapan yang ringkas sahaja, penuturnya boleh menyampaikan maksud tersirat yang amat mendalam maknanya. Bahasa Melayu juga memiliki cabang bahasanya sendiri seperti simpulan bahasa, peribahasa, syair, pantun,sajakgurindam dan lain – lain lagi. 

1. Bahasa Kebangsaan 
“Bahasa Jiwa Bangsa” dengan jelas menunjukkan kepentingan bahasa dalam memupuk 
perpaduan antara kaum. Menyedari hakikat ini, kerajaan telah menjadikan bahasa Melayu 
sebagai bahasa kebangsaan negara kita. Mulai tahun 1970, bahasa Melayu secara 
berperingkat-peringkat telah menggantikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di 
sekolah-sekolah. Sebuah badan berkanun iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah 
bertanggungjawab untuk memaju dan memperkaya bahasa Melayu. Kepentingan bahasa 
Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini berpaksikan Perkara 
152 Perlembagaan Persekutuan, selain daripada Akta Bahasa Kebangsaan dan Akta 
Pendidikan yang sedia ada. 

2. Dasar Bahasa Kebangsaan 
Pemilihan satu bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia timbul sebab perlunya diadakan 
satu lambang penyatuan, iaitu dengan harapan bahawa bahasa itu dapat menjadi dasar 
bagi satu identifikasi kebangsaan. Peranan bahasa sebagai faktor penyatuan disalurkan 
melalui sistem pelajaran kebangsaan, sebagaimana tercatat dalam mukadimah akta 
Pendidikan seperti berikut: 
“........dan untuk merancangkan satu sistem pelajaran iaitu bahasa kebangsaan adalah 
bahasa pengantar yang utama.” 
Di samping memenuhi keperluan menjadi lambang penyatuan, penubuhan satu bahasa 
kebangsaan juga timbul daripada semangat kebangsaan yang mahukan bahasa penjajah 
diambil alih oleh bahasa bumiputera. 

Dasar bahasa kebangsaan merupakan asas terpenting bagi perkembangan bahasa 
Melayu di Malaysia. Dasar ini memenuhi konsep perancangan taraf bahasa. Dengan 
adanya dasar bahasa yang menentukan pemilihan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, 
barulah dilakukan tahap-tahap seterusnya, iaitu propaganda, pembinaan dan perluasan 
penggunaannya. 

Dasar bahasa di Malaysia meletakkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa 
kebangsaan dan bahasa rasmi, seperti terkandung dalam Perkara 152 Perlembagaan 
Persekutuan. Dasar bahasa ini juga dianggap bermula dengan idealisme, iaitu untuk 
menyaksikan satu rupa bangsa yang bersatu menerusi pembentukan budaya kebangsaan 
selaras dengan keinginan dan hasrat membentuk satu bangsa Malaysia yang mempunyai 
identiti keperibadian yang dapat dibanggakan dan penuh dengan kesetiaan kepada 
negara, memupuk ciri-ciri pengenalan rakyat yang relatif seragam, menegak persatuan antara kaum-kaum yang mendiami negara ini dan menobatkan bahasa Melayu sebagai 
saranan komunikasi yang berkesan dalam sektor-sektor penting negara. 

3. Bahasa Rasmi 
Menurut Kamus Dewan (1970:59), bahasa rasmi adalah bahasa pentadbiran, bahasa 
perhubungan awam, bahasa pengantar serta bahasa ilmiah di sekolah-sekolah dan 
institusi pengajian tinggi. Sesebuah negara, khususnya yang baru mencapai kemerdekaan 
selalunya memilih dan mendaulatkan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. 
Menurut Ainon Mohammad (1984), bahasa rasmi pula bererti peranan bahasa Melayu 
sebagai saranan pembinaan negara dalam semua urusan, terutama pentadbiran negara. 
Justeru, bahasa rasmi membawa maksud bahasa yang digunakan dalam sistem 
pendidikan negara, urusan perniagaan dan pentadbiran dan dalam upacara-upacara 
rasmi. Bahasa rasmi mungkin mempunyai lebih daripada satu fungsi bagi sesebuah 
negara. Secara rasminya bahasa Melayu dinobatkan pada 1 September 1967, yakni 10 
tahun selepas hari kemerdekaan. Ia menjadi bahasa rasmi tunggal bagi Persekutuan 
Malaysia. Perisytiharan ini berlaku akibat tindakan parlimen meluluskan undang-undang 
perasmiannya. Perisytiharan tersebut dibuat melalui titah Diraja yang disiarkan menerusi 
radio dan televisyen, dianggap sebagai satu detik era baharu bagi orang Melayu. Dengan 
kenaikan taraf ini, kesan positif wujud terhadap orang Melayu dan bahasa Melayu terjamin. 
Jika diteliti dengan mendalam, kita boleh mengatakan bahawa dengan meningkatnya taraf 
tersebut, bahasa Melayu kian meluas digunakan sebagai bahasa perpaduan antara kaum. 
Maksud fungsi perpaduan ialah menimbulkan sikap bersatu melalui bahasa. Pelbagai 
masyarakat akan menggunakan bahasa Melayu untuk mengeratkan hubungan antara satu 
sama lain. Mereka berkomunikasi dengan menggunakan bahasa Melayu. Secara tidak 
langsung, masyarakat bukan Melayu menerima bahasa Melayu dan menganggapnya 
penting sebagai alat perpaduan bangsa. 

Walau bagaimanapun, usaha-usaha untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa 
rasmi telah menghadapi berbagai-bagai kesulitan serta tentangan, daripada orang Melayu 
sendiri dan juga orang bukan Melayu. Pemasalahan datang daripada pelbagai arah dan 
berbagai-bagai persoalan ditimbulkan; persoalan politik, persoalan sikap, ekstremisme kaum yang memungkinkan berlakunya ketidaksefahaman dan perpecahan antara 
kaum.Antara isu yang diketengahkan adalah seperti berikut: 
 Bahasa Melayu tidak sesuai dan tidak layak menggantikan bahasa Inggeris 
sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar di sekolah-sekolah. 
 Ramai intelek khususnya guru masih belum fasih menggunakan bahasa Melayu 
 Penguasaan terhadap bahasa Melayu tidak penting 
 Bahasa Melayu tidak mempunyai standard, hanya sesuai digunakan oleh 
golongan bawahan 
 Bahasa Melayu tidak sesuai digunakan dalam bidang kehakiman dan pendidikan 
Di samping itu, golongan yang menyetujui dan menerima bahasa Melayu menganggap 
bahasa tersebut : 
 Layak menggantikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi dan bahasa 
pengantar di sekolah-sekolah 
 Bahasa Melayu mempunyai beberapa kelebihan tersendiri; mudah dipelajari, 
semua kaum boleh bertutur dalam bahasa tersebut. 
 Ia paling sesuai dijadikan bahasa rasmi berbanding dengan bahasa Cina atau 
Tamil 
 Bahasa Inggeris adalah bahasa penjajahan 

Oleh sebab ketegasan, pihak kerajaan telah mengeluarkan surat pekeliling Am No.12, 
tahun 1967 untuk memantapkan lagi penggunaan bahasa Melayu secara rasminya. 
Melalui pekeliling ini, bahasa Melayu perlu digunakan untuk tujuan-tujuan rasmi dalam 
pentadbiran harian, bahasa pengantar di sekolah, surat-menyurat rasmi kerajaan yang 
meliputi semua jabatan kerajaan persekutuan dan negeri. Hingga kini bahasa Melayu 
masih lagi teguh dan berdiri tegak sebagai bahasa rasmi walaupun sering kali menerima tohmahan dan kritikan daripada pelbagai pihak. Diharapkan bahasa Melayu akan kekal 
sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar di sekolah-sekolah. 

4. Bahasa Komunikasi 

Manusia menggunakan bahasa sebagai alat komunikasi yang penting dalam kehidupan
seharian mereka. Hal ini demikian kerana bahasa dan pertuturanlah yang membezakan
manusia dengan haiwan. Selain itu, bahasa mempunyai suatu sistem yang sistematis,
dinamik dan selalu berubah-ubah sesuai dengan perkembangan zamannya. Halliday,
dalam bukunya bertajuk “Explorations in the Functions of Language” (1973), telah
mengemukakan tujuh fungsi bahasa. Antaranya ialah: 

Instrumental
Regulasi
Pemerian
Interaksi
Personal
Heuristik
Khayalan

5. Bahasa Perpaduan 

Perpaduan atau solidariti dapat didefinisikan sebagai satu proses yang menyatupadukan
rakyat dan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat
membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan bangga akan tanah
air. Di samping itu juga, menurut Kamus Dewan (1994), perpaduan ditakrifkan sebagai
penggabungan, pelaburan penyesuaian, kecocokan dan perihal berpadu iaitu bergabung
menjadi satu, sepakat dan sebagainya. Dalam erti kata yang lain, perpaduan dapat
diertikan sebagai hubungan erat bersifat toleransi yang diwujudkan secara sengaja dalam
kalangan dan etnik yang berbeza untuk mencapai matlamat bersama secara jujur dan
ikhlas. Perpaduan adalah proses menyatupadukan seluruh masyarakat untuk membentuk
satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan bangga akan negara.

Oleh itu, pengertian bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dapat diertikan sebagai
bahasa yang menjadi lambang penyatuan suara yang digunakan sebagai alat
perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (antara individu dengan individu
yang lain) yang berfungsi sebagai alat menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum
dalam sebuah negara.

Bahasa adalah suatu keseluruhan, suatu prinsip klasifikasi dengan sesuatu yang dikuasai
dan bersifat konvensional yang seharusnya terkebawah daripada naluri semula jadi.
Whitney (1998) berpendapat bahasa adalah salah satu institusi sosial dan menganggap
bahawa kita menggunakan alat ujaran sebagai wadah bahasa, hanyalah secara kebetulan
sahaja, untuk kesenangan sahaja manusia boleh memilih bahasa isyarat dan lambang
tampak dan bukan lambang akuistik.

Cara bahasa menyatupadukan rakyat 

Selaras dengan dasar pendidikan kebangsaan, bahasa Melayu diajarkan sebagai mata
pelajaran wajib dan telah dijadikan bahasa pengantar utama bagi semua peringkat
prasekolah dan pengajian. Pendidikan bahasa Melayu Sekolah Menengah adalah
memenuhi hasrat Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah untuk melahirkan insan yang
seimbang dan harmonis daripada aspek intelek, emosi, rohani, dan jasmani.

Penggunaan bahasa Melayu yang semakin meluas sesuai dengan tarafnya
sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara menekankan penguasaan dan
penggunaan bahasa Melayu yang lebih bermutu. Pendidikan bahasa Melayu sekolah
menengah yang meliputi Tingkatan 1 sehingga 5 akan terus meningkatkan penguasaan
kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis dalam kalangan pelajar remaja
dan memupuk kepekaan terhadap variasi bahasa dalam pelbagai situasi, sistem bahasa
dan gaya bahasa yang indah. Pendidikan Bahasa Melayu sekolah menengah juga
menanamkan kesedaran terhadap unsur dan nilai kemanusiaan secara menyeluruh
melalui pembacaan bahan ilmu dan hasil kesusasteraan.

Aspek penting untuk menyatupadukan rakyat mengikut fungsi bahasa Melayu
sebagai bahasa perpaduan adalah melalui pendidikan. Sesungguhnya pendidikan hari ini
telah memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi negara ke arah
mewujudkan perpaduan kaum. Pendidikan hari ini telah membuktikan bahawa negara
berjaya mengimbangkan kewujudan integrasi nasional yang menjamin keamanan dan
kesejahteraan negara.

Sejarah telah membuktikan betapa golongan cerdik pandai menentukan jatuh
bangunnya sesebuang bangsa dan negara. Selain daripada itu, penyatupaduan rakyat
dapat mewujudkan sistem pendidikan kebangsaan kerana sistem persekolahan yang
berbeza-beza mempunyai haluan masing-masing dan tidak dapat melahirkan satu identiti
bangsa. Oleh itu, satu jawatankuasa ditubuhkan untuk mengkaji sistem pendidikan yang
sedia ada. Cadangan itu dikenali sebagai Penyata Razak.

Penyata Razak telah diperakui dan diluluskan menjadi Ordinan Pelajaran pada
tahun 1957. Ordinan ini mewajibkan semua jenis sekolah menggunakan sukatan pelajaran
yang sama. Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar di semua sekolah, khususnya untuk membantu perpaduan kebangsaan dan menjadi wahana yang berkesan
untuk berkomunikasi pelbagai kumpulan etnik dan masyarakat pelbagai dialek atau
bahasa. Bahasa Melayu turut membantu pembentukan jati diri bangsa Malaysia yang
menggunakan bahasa komunikasi yang mudah difahami.

6. Bahasa Ilmu 

Bahasa ilmu boleh ditakrifkan sebagai bahasa yang mempunyai ciri-ciri formal dan dapat
mengungkapkan sesuatu konsep dan pemprosesan ilmu. Bahasa Melayu telah lama
digunakan untuk mengungkapkan konsep-konsep dan proses-proses yang tinggi serta
kompleks, terutama sekali di dalam bidang agama, falsafah, sastera dan budaya.

Setelah tiga puluh tahun dirancang dengan begitu rapi, perkembangan yang positif
dalam penggunaan bahasa Melayu dapat dilihat dalam bidang ilmiah. Penggunaan
bahasa Melayu dalam bidang sains sosial telah lama wujud, malahan lebih awal daripada
zaman kegemilangan kerajaan Melayu Srivijaya, Acheh dan Melaka. Dalam sejarah yang
muktahir, pusat kebudayaan seperti Pulau Pinang telah banyak menghasilkan buku untuk
institusi pengajian tinggi dan akhbar diterbitkan. 

Bahasa Melayu telah digunakan dengan banyaknya dalam konteks agama, 
sastera dan budaya. Usaha menggunakan bahasa Melayu dalam bahasa tersebut telah 
lama digunakan untuk tujuan ini, walaupun tidak abstrak dan sukar berbanding sains dan 
teknologi. Bahasa Melayu ilmiah ini dapat dilihat melalui beberapa ciri umum iaitu 
peristilahan, tatabahasa, laras dan sebagainya. 
Istilah yang sudah dicipta oleh DBP setakat ini, untuk semua bidang telah 
mencapai 477, 300 (Berita Peristilahan, Mei 1986). Setiap satu bidang ilmu terdapat 
sejumlah peristilahannya tersendiri dan mempunyai maknanya yang tersendiri pula. 
Dalam hal pemilihan istilah ternyata bahawa istilah, walaupun banyak iaitu 
berjumlah 477, 300 dan meliputi 36 bidang, namun kerja-kerja menokok tambah jumlah 
istilah terus berjalan. Usaha membina istilah baharu telah bermula sejak tahun 1957 lagi. 

Bagi memantapkan lagi penggunaan bahasa ilmu dalam bidang ilmu atau ilmiah, 
DBP aktif dalam hal ini. Setakat ini DBP telah menyelesai dan memenuhi permintaan 
buku-buku teks bagi sekolah-sekolah rendah dan menengah serta pra universiti. Terdapat 
dua langkah yang dibuat dalam hal ini: bantuan tenaga pengajar daripada institusi 
pengajian tinggi dan penerbitan karya-karya asal bagi keperluan institusi pengajian tinggi.