TOKOH YANG MEMBERI SUMBANGAN KEPADA BAHASA MELAYU
Sebelum kita membincangkan sumbangan Za’ba terhadap perkembangan bahasa Melayu terlebih dahulu kita berkenalan dahulu dengan sarjana dan ahli fikir Melayu ini. Secara sepintas lalu Za’ba ketika hidupnya menulis berkenaan dengan berbagai-bagai tajuk iaitu bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu, agama, serta etika dan ekonomi orang Melayu. Namun demikian, perhatian dan minat beliau lebih besar dalam bidang bahasa lantas mendorong kesungguhan beliau dalam perjuangan memartabatkan bahasa Melayu, iaitu memperluas dan mengekalkan darjat bahasa Melayu di mata masyarakat yang diperkukuhkan oleh kesedaran serta keyakinan mendalam. Za’ba dikenali, disanjung dan dikenang sebagai pejuang bangsa, ilmuan pendidikan dan bahasa, tokoh agama dan politik[1]. Za’ba merupakan tokoh intelektual ulung Melayu dalam pembinaan kemajuan pemikiran bangsa dan pembangunan dan pencetus kesedaran politik Negara. Beliau diiktiraf sebagai pengasas paling dinamik dalam perkembangan Pengajian dan Persuratan Melayu dan peningkatan keintelektualan Melayu. Beliau juga mempunyai kesedaran betapa pentingnya strategi penyelesaian masalah kepada perkembangan ekonomi, sosial dan budaya bangsa. Ketokohan Za’ba terbukti apabila Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim (2004) mengemukakan pandangan seperti berikut “Orang Melayu khususnya terhutang budi kepada Za’ba. Pendeta Za’ba ialah seorang tokoh Pendidikan, Bahasa, Persuratan, Sasterawan, Budayawan, dan Nasionalis. Di seluruh Malaysia dan Alam Melayu, beliau tersohor sebagai Bapa Bahasa Melayu Moden dan penulis yang sangat disegani. Himpunan ratusan karyanya, dari Pelita Bahasa Melayu hinggalah ke rencana-rencana dalam pelbagai penerbitan mengenai sejarah, kesusasteraan, kebudayaan, sosial dan politik, telah dan terus meniupkan semangat juang bangsa”[2].
Latar Belakang
Nama beliau Za’ba atau nama penuhnya Tan Sri Dr. Zainal Abidin Bin Ahmad dilahirkan pada 16 September 1895 di Kampung Kerdas, Jempol, Batu Kikir, Negeri Sembilan Darul Khusus. Mendapat pendidikan di Sek. Melayu Linggi dalam tahun 1907. Kemudian ke St. Paul Institution, Seremban sehingga lulus Senior Cambridge. Beliau pernah bekerja sebagai Guru Bahasa Melayu di English College, Johor Bahru, sebagai penterjemah pengarang Berita Radio, penulis Setiausaha Agung UMNO, pensyarah Bahasa Melayu di Universiti London dan terakhir sekali sebagai Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Singapura. Di antara karya yang telah dihasilkan oleh beliau ialah Pelita Bahasa Melayu, Ilmu Mengarang Melayu dan Daftar Ejaan Melayu Jawi atau Rumi yang menjadi rujukan dalam penggunaan tatabahasa Bahasa Melayu. Di antara rencana beliau yang terkenal ialah Modern Developments of Malay Literature dan Malay Journalism in Malaya. Di samping buku bahasa Melayu, beliau turut bergiat menterjemahkan buku-buku asing ke Bahasa Melayu untuk mengisi kekosongan buku-buku pengetahuan dalam Bahasa Melayu. Di antara nama pena yang digunakan oleh beliau ialah Anak Melayu Jati, Patriot; yang bermaksud, orang yang kasihkan bangsa dan tanah airnya, Za’ba, Z Penjelmaan, Z Penjelmaan c/o Patriot, Melayu yang beragama Islam, Z dan Melayu, Yang Hina Patriot. Jasa-jasa beliau sangat besar dan telah dikurniakan beberapa anugerah seperti Doktor Persuratan dari Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Pada tahun 1962, beliau telah dianugerahkan pingat PMN yang membawa gelaran Tan Sri oleh Yang Di Pertuan Agong. Gelaran Pendeta dikurniakan ketika berlangsungnya Kongres Bahasa Melayu dan Persuratan Melayu Ketiga di Johor Bahru tahun 1956.
Sumbangan Za’ba
-Sistem Ejaan Melayu
Salah satu sumbangan Za’ba ialah dalam sistem ejaan Melayu. Minat beliau terhadap penulisan bermula dalam tahun 1918 semasa menjadi guru Bahasa Melayu merangkap penterjemah di Maktab Melayu Kuala Kangsar, beliau telah mula mengumpul senarai perkataan Melayu dalam tulisan Jawi. Dalam tahun 1924 , beliau telah menjemput beberapa orang Melayu dari kalangan pegawai kerajaan yang berpendidikan Inggeris datang ke Kuala Lumpur untuk membantu menubuhkan sebuah "Pan-Malayan Malay Literary Society" yang matlamat utamanya ialah untuk menyatukan pelbagai kelainan sistem ejaan Melayu, di samping memajukan perkembangan kesusasteraan Melayu Moden. Nama Pendeta Za’ba juga terukir sebagai pencipta Sistem Ejaan Baru Bahasa Melayu yang disebut sebagai Sistem Ejaan Za’ba. Beliau menggubal sistem ejaan dalam tahun 1933 dan menggantikan dengan sistem ejaan oleh R.J. Wilkinson yang telah digunakan dalam tahun 1914. Oleh sebab Sistem Ejaan Za’ba digunakan di sekolah-sekolah sejak tarikh penggubalannya sehinggalah tahun 1972 dengan dilaksanakan Sistem Ejaan Baharu, maka sistem berkenaan juga dikenali sebagai Sistem Ejaan Sekolah. Walau bagaimanapun, Za’ba menaruh harapan untuk menjadikannya sebuah kamus dengan setiap perkataan itu diberi tidak sahaja makna tetapi juga contoh ayat memakainya dan simpulan bahasa yang telah terbit daripadanya,"sebagai membanyak dan menambah elokkan kamus-kamus kita yang sedia ada". Oleh kerana itulah, beliau digelar “Bapa Bahasa Melayu Moden” selepas Munsyi Abdullah. Za’ba turut berusaha memperkembangkan dan meningkatkan penggunaan Bahasa Melayu dan turut terlibat sebagai anggota Lembaga Menggubal Perkataan Melayu bersama Ibrahim Mahmud, Dato’ Haji Muhammad Said, Abdul Rahim Kajai dan Osman Kalam.
-Daftar Ejaan Jawi
-Daftar Ejaan Jawi
Sumbangan Za’ba telah memperkenalkan kaedah ejaan Jawi dalam tahun 1929 dan menerbitkan pula Rahsia Ejaan Jawi dalam tahun 1931, sebahagian daripada buku yang dinamakan Rahsia Ejaan Jawi itu telah dicetak. Ertinya, pada tahun 1918 beliau memulakan projek pensenaraian kata-kata dalam tulisan Jawi; pada tahun 1924 beliau mengambil inisiatif menubuhkan sebuah persatuan yang salah satu matlamatnya ialah untuk menyeragamkan ejaan Jawi. Pada tahun 1931 beliau merumuskan undang-undang ejaan Jawi dalam sebuah buku Rahsia Ejaan Jawi; pada tahun 1938 beliau menyiapkan Daftar Ejaan Melayu (Jawi-Rumi). Menurut Za'ba, undang-undang ejaan Jawi yang diberikan dalam buku Daftar Ejaan Melayu itu "hanyalah ringkasan atau pati daripada apa-apa yang telah dipanjang-lebarkan di sana sahaja”. Kemuncak yang diimpikannya ialah sebuah kamus lengkap bahasa Melayu dalam tulisan Jawi.
-Bahasa dan Fikiran
Za’ba jelas berpendirian bahawa bahasa adalah “alat mengeluarkan fikiran”. Perkaitan di antara kedua-duanya itu sangat erat, dalam erti kata bahasa yang digunakan itu hendaklah dengan tepat menggambarkan fikiran. Za’ba mengatur penggunaan bahasa, khususnya dalam karang-mengarang. Katanya :
Bahasa itu alat mengeluarkan fikiran supaya dapat diketahui orang dengan mendengar atau membacanya. Maka jika bahasa yang dipakai itu tidak menepati betul-betul seperti maksud yang di dalam hati, tentulah orang tersalah faham atau tiada dapat oleh mereka tujuan yang dikehendakkan itu.
(Bab Permulaan, Ceraian 4)
Za’ba mengajar bukan setakat bahasa sahaja, tetapi menanamkan semangat dan kedudukan Bahasa Melayu itu sendiri. Za’ba juga pernah mengkaji penggunaan bahasa dalam akhbar pada tahun 1900-1941. Bahasa sekitar tahun ini menggunakan bahasa mudah, bahasa pengarang dan tersendiri. Ada juga yang cenderung menggunakan perkataan lama dan ungkapan pinjaman dari Bahasa Arab.
-Nahu dan Tatabahasa
Za’ba dengan jelas membezakan pengetahuan nahu dengan kemahiran bahasa. Pandai menggunakan bahasa tidak semestinya pandai menjelaskan hal-hal yang berhubung dengan nahu. Untuk belajar bahasa, orang tidak perlu terlebih dahulu belajar tentang selok belok nahu. Za’ba melihat penggunaan bahasa sebagai satu kemahiran, dan kemahiran memerlukan latihan. Kemahiran dalam penggunaan bahasa setiap hari itu dilanjutkan kepada kemahiran mengarang. Fikiran Za’ba tentang kemahiran bahasa seperti itu tidaklah bermakna beliau tidak menitikberatkan nahu. Beliau melihat peranan nahu pada dua peringkat pembelajaran, iaitu pada peringkat bahasa pertama dan pada peringkat bahasa kedua. Pada peringkat bahasa pertama, nahu berguna untuk mengukuhkan pengetahuan pengguna bahasa tentang susunan ayat dan fungsi-fungsi perkataan, dan dengan itu nahu boleh menjadi pedoman dalam penyelidikan mereka. Oleh itu, sumbangan sebuah rumusan besar nahu Melayu (Pelita Bahasa Melayu (1941) dalam tiga jilid) telah membawa perubahan yang besar kepada dunia linguistik Melayu[9].
Menurut Za’ba di dalam bukunya Ilmu Mengarang Melayu Edisi Ejaan Rumi Baharu, dengan adanya ilmu nahu, pengguna bahasa boleh mendalami lagi hal ehwal bahasa mereka. Pada peringkat belajar bahasa asing, nahu perlu diutamakan supaya jangan terikut kaedah nahu bahasa sendiri. Sebenarnya, aspek tatabahasa yang dikemukakan oleh Za’ba dalam Pelita Bahasa Melayu sebanyak 3 jilid itu dari segi rangka asasnya sudah lengkap dan menyeluruh sesuai dengan saranannya agar orang selepasnya menokok-tambah mana-mana yang tidak lengkap. Analisis Za’ba tentang tatabahasa dapat dibahagi kepada dua komponen utama, iaitu morfologi dan sintaksis, walaupun beliau tidak menggunakan istilah tersebut. Selaras dengan pengaruh tatabahasa tradisional yang ketika itu mendominasi disiplin linguistik, analisis Za’ba ternyata banyak yang terikat oleh pendekatan tersebut. Oleh sebab itu, istilah-istilah tatabahasa yang digunakannya dan cara beliau menjelaskan sesuatu konsep tatabahasa seluruhnya berdasar pada makna, iaitu ciri utama linguistik tradisional.
5.5 Karangan Sebagai Sistem Wacana
Za’ba melihat karangan sebagai satu wacana yakni wacana bertulis yang berbeza dengan wacana lisan. Karya-karya Za’ba dikatakan penting kerana telah meletakkan asas pengetahuan Bahasa Melayu dari berbagai-bagai segi. Berikut merupakan antara karangan-karangan Za’ba :-
i) Pelita Bahasa Melayu II (Rumi)
Memberi latihan mengarang bagi darjah rendah.
ii) Pelita Bahasa Melayu III (Rumi)
Bicara mengarang bagi darjah tinggi.
iii) Ilmu mengarang Melayu (Jawi)
Bicara mengarang bagi penuntut-penuntut di kolej.
iv) Daftar Ejaan Melayu (Jawi-Rumi)
Daftar perkataan-perkataan Melayu dengan ejaan jawi dan rumi serta undang-undang ejaannya.
v) Kata-kata yang Tidak Tetap dalam Tulisan Melayu Rumi dan Kitab Rahsia Ejaan Jawi (1930)
vi) Kaedah Karangan Bahasa Melayu terangkum dalam Kitab Pelita Mengarang (1931)
vii) Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia (1958)
viii) Bahasa Melayu Kelebihan dan Kekurangan (1954)
ix) Bahasa Melayu dengan Tulisannya (1958)
Dari situ kita dapat melihat banyak dan amat besar perjuangan serta sumbangannya kepada bangsa dan negara kita ini. Pendeta Za’ba serta semua karyanya adalah sebenar-benarnya Warisan Bangsa yang amat berharga khususnya di dalam bidang bahasa dan kesusasteraan yang harus dikenang oleh generasi masa kini dan juga yang akan datang. Dalam perspektif sejarah penulisan tatabahasa Bahasa Melayu, Za’ba lah satu-satunya ahli bahasa tempatan yang menghasilkan tatabahasa Bahasa Melayu dalam bahasanya sendiri. Jika dipertalikan dengan cita-cita Abdullah Abdul Kadir Munshi yang ingin menghasilkan karya tatabahasa Bahasa Melayu sejak akhir abad kesembilan belas tetapi tidak kesampaian, Za’ba lah yang menyempurnakan cita-cita tersebut[11].
-Sumbangan dalam Linguistik
Demikian juga jika dikaitkan percubaan Raja Ali Haji menulis tatabahasa Bahasa Melayu mengikut acuan tatabahasa Bahasa Arab termasuk istilah-istilah yang digunakan, Za’ba lah juga yang menyempurnakan dengan cara tersendiri sebagaimana bukti nyata kitab Pelita Bahasa Melayu sebanyak tiga penggal itu. Selaras dengan semangat yang ditunjukkan oleh Za'ba dalam dunia linguistik Melayu, maka semua pihak yang mendokong kepentingan Bahasa Melayu perlulah memadu tenaga untuk tidak menggugat kedaulatan Bahasa Melayu dengan kepentingan kecil-kecilan yang tidak dapat dipertahankan secara rasional kerana sikap kitalah yang menjadi punca kita menolak Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Jika, dari segi rasionalnya, sistem yang disempurnakan itu masih belum sempurna, maka aspek-aspek yang belum sempurna itu hendaklah dikenalpasti dan penyelesaian ke atasnya dicari secara rasional pula dan bukannya ditolak begitu sahaja dengan tidak dicari jalan bersama-sama untuk memperbaiki lagi apa yang telah dicuba-sempurnakan. Usaha dan sumbangan Za’ba mesti dikaji kerana semuanya itu dapat menyemai bibit-bibit semangat cintakan negara dan bangsa Melayu untuk bebas dari kongkongan pemerintah tradisional dan British khusus kepada generasi muda hari ini yang jauh dan buta daripada perjuangannya itu kerana perjuangan beliau sentiasa ditunjangi oleh ketabahan, kecekalan dan keyakinan. Walaupun Za’ba berpendidikan Inggeris tetapi beliau tetap berjuang gigih untuk memartabatkan Bahasa Melayu, sama seperti pejuang bahasa pada hari ini. Usaha Universiti Pendidikan Sultan Idris mewujudkan Kursi Za’ba dalam rangka mengimarahkan dunia kesarjanaan dalam bidang pengajian Melayu merupakan usaha yang terpuji, bukan sahaja sebagai mengenang jasa bakti beliau sebagai antara tokoh yang menjadi tonggak Sultan Idris Training College yang merupakan institusi awal universiti tersebut, malah sebagai penghargaan yang hak baginya sebagai perintis bahasa Melayu baharu[13]. Demikian juga usaha kerajaan Negeri Sembilan mewujudkan Teratak Za’ba yang bersifat muzium tokoh seakan-akan Muzium Hemingway di England; dan tertubuhnya Yayasan Pendeta Za’ba pada 7 November 1986 oleh Badan Kebajikan Anak-Anak Melayu Negeri Sembilan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu akan dapat mengabadikan sumbangan Za’ba dalam melanjutkan tradisi keilmuan di rantau berbahasa Melayu ini. Bagi Za’ba, bahasa adalah mencerminkan keunggulan budaya kita dan jati diri bak kata pepatah,“Hilang bahasa lenyaplah bangsa”[14]. Sumbangan pemikiran beliau kepada bangsanya adalah banyak dan amat bererti. Sumbangan pemikirannya dalam bidang budi pekerti dan agama, tentang ekonomi dan kemiskinan orang Melayu adalah banyak dan telah dirakamkan serta dibicarakan dengan luas. Walau bagaimanapun, sumbangannya yang paling besar ialah dalam bidang bahasa Melayu. Minatnya dalam bidang ini sungguh besar dan bermula sejak awal-awal lagi. Keazamannya untuk menulis sebuah buku nahu Melayu telah mula muncul dalam fikirannya sejak beliau berumur dua belas tahun lagi. Dalam tahun 1918 lagi, sewaktu bertugas sebagai guru bahasa Melayu di Malay College Kuala Kangsar, beliau telah mula mengumpul senarai perkataan Melayu dalam tulisan Jawi. Dalam tahun 1924 pula, umpamanya, beliau telah menjemput sebilangan orang Melayu dari kalangan pegawai kerajaan yang berpendidikan Inggeris datang ke Kuala Lumpur untuk membantu menubuhkan sebuah "pan-Malayan Malay Literary Society" yang matlamat utamanya ialah untuk menyatukan pelbagai kelainan sistem ejaan Melayu, di samping memajukan perkembangan kesusasteraan Melayu moden. Tidak hairanlah kita melihat bahawa sumbangan beliau adalah juga di dalam bidang ejaan, iaitu ejaan Jawi, di samping sumbangan sebuah rumusan besar nahu Melayu (Pelita Bahasa Melayu (1941) dalam tiga jilid), dan kaedah mengarang dalam bahasa Melayu (Kitab Ilmu Mengarang Melayu (1951)). Adalah juga menjadi hasrat beliau untuk menyumbangkan kepada bahasa Melayu sebuah kamus Melayu yang lengkap dalam tulisan Jawi.
Malah ke arah melahirkan kamus Jawi itulah maka, sebagai langkah awal, dilahirkannya sebuah sistem ejaan Jawi. Ini dinyatakannya sebagai tujuan kedua penyusunan buku Daftar Ejaan Melayunya. Menurutnya, tujuan kedua itu ialah "... hendak dibuat daripadanya sebuah kamus Melayu yang lengkap bagi pergunaan hari-hari di antara ahli-ahli bahasa Melayu". Sehubungan dengan kaedah ejaan Jawi, dalam tahun 1929, diterbitkannya Kitab Rahsia Ejaan Jawi (Pulau Pinang: The Jelutong Press) dan dalam tahun 1931, telah dicetak sebahagian daripada buku yang dinamakannya Rahsia Ejaan Jawi.) Menurut Za'ba, undang-undang ejaan Jawi yang diberinya dalam buku Daftar Ejaan Melayu itu "hanyalah ringkasan atau pati daripada apa-apa yang telah dipanjang-lebarkan di sana sahaja". Ertinya, pada tahun 1918 beliau memulakan projek pensenaraian kata-kata dalam tulisan Jawi; pada tahun 1924 beliau mengambil inisiatif menubuhkan sebuah persatuan yang salah satu matlamatnya ialah untuk menseragamkan ejaan Jawi; pada tahun 1931 beliau merumuskan undang-undang ejaan Jawi dalam sebuah buku Rahsia Ejaan Jawi; dan pada tahun 1938 beliau menyiapkan Daftar Ejaan Melayu (Jawi-Rumi) . Kemuncak yang diimpikannya ialah sebuah kamus lengkap bahasa Melayu dalam tulisan Jawi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan